Saturday, July 16, 2011

Gandingan serasi 5 anak mude pejuang '' POP DANCE''




Rasanya ramai yang sudah mengenali bekas peserta Akademi Fantasia 2 (AF2), Adam antara penyanyi lelaki disegani masa kini.

Baru sahaja tampil dengan album keempatnya berjudul Adam 4, kelibat penyanyi dari Sabah itu bagaimanapun dilihat tidak bersendirian lagi sejak kebelakangan ini.


Ke mana sahaja Adam pergi, dia ditemani tiga jejaka yang wajah mereka tidak asing bagi peminat hiburan tempatan kerana pernah menganggotai kumpulan Bad Boyz, iaitu Ry’an, Marlon dan Yandy.

Sekumpulan anak muda itu turut dilengkapkan dengan kehadiran pemuda tinggi lampai bernama Fadlan.

Menjelaskan situasi itu, Adam berkata, mereka berlima bergerak secara berkumpulan yang dinamakan VIP.

Kumpulan itu kini sedang hangat di corong radio dengan ‘single’ pertama mereka berjudul Lagu Sedih.


Memandangkan kerap dilihat bersama VIP, ramai yang tertanya-tanya, sudah berkuburkah kerjaya solo Adam?

“VIP adalah projek khas yang dicadangkan KRU Studio sempena trend pop yang menjadi kegilaan ketika ini.

“Pembabitan saya dalam kumpulan adalah untuk memberi kelainan selain kepuasan yang berbeza berbanding bergerak sendiri, namun karier solo saya masih berjalan seperti biasa,” jelas Adam mengenai statusnya.


Bercerita lebih lanjut tentang penubuhan VIP, Adam berkata, idea tersebut datangnya dari Norman KRU yang ingin menggabungkan artis terkenal dalam satu projek khas.


“Pada asalnya, beberapa nama seperti Dafi, Sabhi Sadhi dan Shah Jaszle dicadangkan tetapi tidak kesampaian kerana kekangan komitmen.

“Lantas, saya mencadangkan untuk bergabung dengan kumpulan Bad Boyz memandangkan mereka sudah mempunyai nama serta asas nyanyian dan tarian,” katanya.


Sementara, Fadlan yang pernah bergiat dalam bidang ‘modelling’ sebelum ini diambil menyertai VIP kerana mampu memberikan komitmen tinggi.

No comments:

Post a Comment