BERPAYUNG di bawah nama VIP (Versatility In Performance), lima jejaka ini mengangkat konsep pop dance yang menjadi kegilaan semasa khususnya kalangan remaja.
Dianggotai Adam AF atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, Yandy (Eryande Sahat), Ryan (Ryandra Jubidi), Malon (Mailin Antikoh) dan Fadlan (Fadlan Hazim), VIP yang ditubuhkan sejak enam bulan lalu ini dikatakan mirip kumpulan popular Korea. Adam yang terlebih dulu mencipta nama menjelaskan tiada istilah meniru kerana konsep itu sudah lama diperjuangkan sejak menubuhkan Badboyz pada 2008. “Maaf, kami tidak ciplak konsep K Pop. Kalau ikutkan Badboyz sudah lama perkenalkan konsep ini sebelum munculnya kumpulan popular itu. Ketika itu pop dance yang kami perjuangkan kurang menjadi bualan kerana ada genre lain lebih mendominasi pasaran tempatan malah saya sendiri sudah sebati dengan genre ini sejak tujuh tahun lalu di bawah bimbingan KRU. “Kami labelkan muzik VIP sebagai Mpoce atau Malaysian Pop Dance. Diasaskan di bawah KRU, saya dan teman-teman Badboyz kembali bersatu malah kumpulan ini diperkuatkan lagi dengan kehadiran orang baru, Fadlan,” kata Adam. Keistimewaan VIP bukan hanya pada namanya tetapi lebih daripada itu apabila setiap anggota mempunyai kelebihan yang pelbagai termasuklah menyanyi, menari, menulis lirik dan menghasilkan lagu. Bahkan kebolehan mereka tidak terhad terhadap genre pop dance semata-mata sebaliknya cenderung dengan pelbagai irama termasuk balada serta kerohanian. “Selain mampu menari dengan baik, setiap anggota VIP kelebihan tersendiri. Jangan terkejut apabila ada antara kami boleh menyanyi nasyid. Seronok rasanya apabila bergabung di bawah projek khas ini apatah kami sudah lama kenal sejak di Sabah lagi. “Fadlan juga pandai menyesuaikan diri dan cepat belajar. Keserasian yang wujud antara kami membuahkan banyak idea segar terutama dalam menghasilkan langkah baru dalam tarian. Dalam kumpulan ini kami bebas menyuarakan pandangan malah sesiapa saja boleh melontarkan idea. Tiada istilah baru atau lama kerana dalam menggerakkan projek berkumpulan semua orang perlu mainkan peranan,” katanya. Single Lagu Cinta dan Sedih ciptaan Edry Abd Halim yang dipertaruhkan VIP kian rancak berkumandang di radio bahkan lebih membanggakan apabila ia berada dalam kedudukan carta tidak sampai sebulan diperdengarkan kepada orang ramai. “Alhamdulillah, single ini mendapat maklum balas positif malah saya sangat gembira apabila VIP mula menjadi sebutan di kalangan pencinta muzik di Singapura, Brunei, Brazil, Belanda dan Korea. “Semuanya bermula dengan jalinan persahabatan dan sering bertukar cerita mengenai muzik. Kami mempromosikan Lagu Cinta dan Sedih di internet, tidak sangka mereka suka. “Perkembangan ini buat kami lebih bersemangat dan beri harapan melangkah lebih jauh. Siapa tidak mahu ke pentas antarabangsa bahkan itulah yang kami dambakan selama ini,” katanya sambil memaklumkan perkembangan VIP boleh diikuti menerusi www.facebook.com /versatilityinperformance.
Sementara itu anggota paling muda, Fadlan berkata, pada mulanya dia meletakkan sasaran muncul sebagai pelakon apabila bernaung sebagai artis KRU Studios bagaimanapun tawaran menyertai VIP sukar ditolak kerana memahami syarikat gergasi itu pastinya mengaturkan perancangan terbaik untuknya. “Ketika mula-mula muncul di pentas bersama VIP, saya gugup. Serba-serbi rasa tidak kena malah saya bimbang andai persembahan saya tidak menepati piawaian VIP dan KRU. Sokongan dan bimbingan teman-teman VIP bagaimanapun meredakan perasaan itu dan sekarang saya mula yakin dengan kemampuan diri. “Saya juga bertuah apabila mendapat tunjuk ajar KRU. Kepercayaan yang diberikan trio adik beradik yang cukup saya segani ini tidak akan saya sia-siakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment